Program Syawal Bersama

Pada 30 Ogos 2011 bersamaan dengan 1 Syawal, Tiaranita Sabah juga tidak melupakan anggota yang terpaksa bertugas pada Hari Raya pertama.  Pn. Jenny John selaku Setiausaha Kehormat Tiaranita Sabah yang ditemani oleh Pn. Anak Sinsing@Janet, Pn. Nora dan Pn. Winnie telah mengagihkan Pek Sarapan Hari Raya kepada yang terlibat.

Kunjungan ke sekitar kota kinabalu pada hari tersebut iaitu ke unit DCA Kepayan, ZBT, ZFT , Data, Security di IPK, Ibusawat Penampang dan Ibusawat Inanam. Rata-rata kakitangan berasa gembira dan mengucapkan terima kasih di atas kunjungan Tiaranita dan ingatan daripada Tiaranita/Pengurus Besar TM Sabah. Program bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 11.30 pagi. 

Semoga kunjungan Tiaranita pada hari tersebut telah sedikit sebanyak menceriakan rakan-rakan kita yang bertugas pada hari raya pertama. Tiaranita Sabah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program yang julung kali diadakan ini...Syabas dan tahniah ....

Di bawah adalah antara gambar kenangan yang sempat diambil di semua lokasi.



Program Qaseh Ramadhan

Pada 23 Ogos 2011 yang lalu dan bersempena dengan bulan Ramadhan Al Mubarak Tiaranita Sabah telah menyempurnakan Program Qaseh Ramadhan kepada enam keluarga. Program Qaseh Ramadhan ini merupakan program amal untuk mengagih-agihkan sumbangan dalam bentuk barangan, pakaian serta wang tunai hasil dari sumbangan Warga TM. Mudah-mudahan sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban keluarga yang menerima. 


Rombongan Tiaranita Sabah dengan ahli seramai 10 orang yang diketuai oleh Puan Hilda Edmund, Timbalan Presiden Tiaranita Sabah memulakan perjalanan seawal 8:30 pagi dari Pejabat TM, Wisma San Hin. Destinasi pertama ialah ke rumah keluarga susah, Puan Sorinah Maiting di Kampung Topokoon, Tuaran, ibu kepada seorang kanak-kanak buta mata sebelah yang belajar di Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu.



Perjalanan diteruskan ke Rumah Encik Mohd Said Ahmad di Kampung Saman, Tuaran yang terlantar lumpuh selama 17 tahun akibat strok. Encik Mohd Said merupakan bekas anggota TM yang hidup susah setelah jatuh sakit dan bapa beliau terpaksa menyara beliau dan isteri yang telah dikurniakan 5 orang anak, disamping ibu yang juga terlantar sakit akibat kencing manis.









Destinasi ketiga ialah ke rumah Cik Fatimah Dullah, seorang warga emas yang cacat penglihatan akibat sakit misteri di Kampung Berungis, Tuaran.









Destinasi keempat ialah ke rumah Puan Maslena bt Aini, suami isteri cacat dan berpendapatan rendah di Kampung Rampayan, Menggatal.












Perjalanan diteruskan ke rumah Puan Jainah Duraman, seorang ibu tunggal dengan tiga orang anak yang dibesarkan dengan gaji hari yang diperolehi dari Khong Guan Biscuit Factory di Inanam. Ahli-ahli Tiaranita tidak dapat menahan sebak dengan kedaifan Puan Jainah.
Destinasi terakhir ialah rumah Encik Almuda Jamli, orang kurang upaya di Kampung Tanjung Aru Lama.

Keadaan kehidupan semua penerima sumbangan amat menginsafkan sesiapa yang melihat. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak ada perkataan yang sesuai untuk mengungkapkan kesusahan kehidupan yang mereka tanggung. Semua penerima amat terharu menerima kunjungan serta sumbangan yang disampaikan oleh Tiaranita Sabah.

Di waktu yang lain, Tiaranita Sabah juga turut menyampaikan sumbangan berupa beras kepada pekerja-pekerja pembersih pejabat serta pengawal keselamatan di Wisma San Hin dan pekerja-pekerja pembersih Ibu Pejabat Kawasan TM Sabah. Jutaan terima kasih kepada semua penderma-penderma dari TM yang budiman.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...