Majlis Penyampaian Cek Bantuan Ibu Tunggal Dan Persekolahan 2012


23/12/2011 – Tiaranita Cawangan Sabah menutup tirai aktiviti 2011 dengan “Majlis Ringkas Penyampaian Cek Bantuan Ibu Tunggal dan Bantuan Persekolahan 2012” kepada ahli Tiaranita Cawangan Sabah yang layak. Majlis tersebut yang telah diadakan dua hari sebelum Perayaan Hari Krismas telah diadakan di TM Wisma San Hin. Seramai 6 orang penerima bantuan hadir  ke  majlis tersebut dan penyampaian cek bantuan telah disempurnakan oleh Presiden Tiaranita Cawangan Sabah, Hjh. Sharifah Nor Ashikin Syed Ismail.


Hjh Sharifah  dalam ucapannya, mengucapkan ribuan terima kasih kepada TIaranita Nasional di atas bantuan ini dan berharap agar aktiviti seperti ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang. Beliau juga berharap agar bantuan tersebut akan dapat meringankan sedikit sebanyak tanggungan persekolahan anak-anak para ahli yang terlibat.   Hjh Sharifah mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan Hari Krismas dan selamat bercuti kepada semua ahli yang hadir.   Majlis diakhiri dengan sesi fotografi bersama penerima bantuan. 




Program Penyerahan Kerusi Roda



Pada 15 Disember 2011,  TIARANITA cawangan Sabah, melalui Biro Kebajikan telah menyempurnakan Program Penyerahan Kerusi Roda kepada Bekas Anggota TM bertempat di Kg Saman Tuaran.  Rombongan TIARANITA Sabah dengan ahli seramai 5 orang telah diketuai oleh Zuraidah Binti Sagir, Biro Kebajikan TIARANITA Sabah.



Bekas anggota TM  Mohd Said Ahmad, telah terlantar lumpuh selama 17 tahun akibat strok. Setelah jatuh sakit, bapa beliau terpaksa menyara beliau, isteri, lima anak, adik dan ibu yang terlantar sakit akibat kencing manis. 

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.  Tidak ada perkataan yang sesuai untuk mengungkapkan kesusahan kehidupan yang mereka tanggung.  Keluarga Bekas Anggota ini amat terharu menerima kunjungan serta sumbangan Kerusi Roda serta barangan dapur yang disampaikan oleh TIARANITA Sabah. 

Semoga sumbangan yang kecil ini dapat meringankan sedikit kesusahan hidup Bekas anggota TM ini.

Laporan Oleh: Pn. Zuraidah

Penyampaian Cenderahati




Pada 12 Disember 2011 yang lalu, Pn Zuraidah Sagir selaku Ketua Biro Kebajikan Tiaranita Sabah telah menyampaikan cenderahati sempena kelahiran bayi keempat dan juga merupakan anak perempuan sulung kepada Pn. Dg. Noorhayati Pg. Razid.



Beliau yang kini bertugas di MMC Sabah telah selamat melahirkan anak perempuan yang diberi nama Nursyafiqah Batrisyia  pada 11 Ogos 2011 seberat 3.5 Kg di Rafflesia Medical Centre, Jalan Lintas Kepayan.

Tiaranita Sabah mengucapkan tahniah kepada Pn. Dg. Noorhayati dan keluarga.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...