Majlis Berbuka Puasa TM Sabah

Pada 12 Ogos 2011, BAKIT Sabah dengan kerjasama Kelab TM Sabah dan WP Labuan, Tiaranita Sabah, SUTE dan Pejabat Pengurus Besar telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa TM Sabah bertempat di Perkarangan Bangunan IPK, Kota Kinabalu, Sabah.




Anggota-anggota Muslim TM turut menyumbang untuk program tersebut. Program dimulakan dengan ucapan Tuan Haji Sukkuriya Masri, Pengurus Besar TM Sabah merangkap Yang Dipertua BAKIT Sabah dan disusuli dengan majlis penyampaian zakat dan duit raya kepada penghuni Rumah Anak Kesayangan Sempelang, Sabah. Zakat juga turut diagih-agihkan kepada pesara TM, balu-balu yang masih bertugas di TM, beberapa buah surau di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, Pusat Tahfiz Bandaraya dan Pusat Tahfiz Bandar Siera.



Takzirah telah disampaikan oleh Ustaz Alias Abdul Rahim dari TM Ibu pejabat Kuala Lumpur dan diikuti dengan majlis berbuka puasa, solat maghrib berjemaah, majlis makan malam dan solat tarawih. Turut hadir di majlis ini ialah Hajah Sharifah Nor Ashikin Syed Ismail, isteri Pengurus Besar TM Sabah merangkap Presiden Tiaranita Sabah.


Laporan Oleh: Ruhia Lawis

Tiaranita Sabah Anjur Kelas Jahit Manik Dan Labuci

Pada 19 Ogos 2011 yang lalu, Tiaranita Cawangan Sabah melalui Biro Pembangunan Modal Insan telah menganjurkan Kelas Menjahit Manik dan Labuci bertempat di Bilik Mesyuarat VC, Wisma San Hin, Kota Kinabalu, Sabah.




Kelas tersebut telah dihadiri oleh seramai 23 orang ahli yang begitu teruja untuk belajar menjahit manik dan labuci. Tenaga pengajar kelas ini adalah di kalangan ahli-ahli Tiaranita Sabah yang mempunyai kemahiran iaitu Puan Siti Kamisah Sopong, Puan Ahziah Ahmad dan dibantu oleh Puan Dgku Juliah Agku Talib.







Objektif kelas ini dianjurkan dengan harapan untuk memberikan kemahiran kepada ahli-ahli Tiaranita untuk merealisasikan impian mereka menghias pakaian dengan manik dan labuci hasil dari kerja tangan sendiri. Kemahiran yang ada juga boleh dimanfaatkan untuk menambahkan wang saku.




Kelas seumpama ini akan dianjurkan lagi di masa akan datang atas permintaan ahli-ahli Tiaranita.


Laporan oleh: Ruhia Lawis

Tiaranita ke Majlis Berbuka Puasa Istana Negeri Sabah


Pada 14 Ogos 2011, Tiaranita Sabah telah menghantar seramai 4 orang wakil untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Sembahyang Tarawih bersama isteri Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Yang Amat Berbahagia Datin Norlida Datuk RM Jasni bertempat di Istana Negeri Kota Kinabalu, Sabah.




Program tersebut dimulakan dengan takzirah dan bacaan Al-Quran. Selepas berbuka puasa dan solat maghrib, program diteruskan dengan penyerahan zakat kepada ibu tunggal, majlis makan malam dan sembahyang tarawih.





Laporan Oleh: Ruhia Lawis

Kunjungan Hormat Ke Konsulat Jendral Republik Indonesia

Tiaranita Cawangan Sabah telah mengadakan Kunjungan Hormat Ke Persatuan Wanita Konsulat Jendral Republik Indonesia pada 9 Ogos 2011 bertempat di Pejabat Konsulat Indonesia, Kota Kinabalu, Sabah.





Kunjungan hormat tersebut bertujuan berkenalan serta mengeratkan lagi ikatan silaturrahim diantara Tiaranita Sabah dan Persatuan Wanita KJRI. Rombongan Tiaranita Cawangan Sabah diketuai oleh Hajah Sharifah Nor Ashikin, Presiden Tiaranita Cawangan Sabah sementara Persatuan Wanita KJRI diketuai oleh Ibu Dini Sahid, Ketua Dharma Wanita Persatuan KJRI.


Kedua-dua belah pihak berharap dapat melaksanakan program serta aktiviti bersama-sama dan dalam masa yang sama dapat bertukar-tukar maklumat untuk memperbaiki prestasi persatuan masing-masing.

Bersempena dengan program Kunjungan Hormat ini, Pihak Tiaranita juga turut mengambil peluang mempromosikan produk TM iaitu Kad iTalk kepada semua ahli KJRI yang hadir dan memberikan beberapa pek percubaan kepada Ibu Dini.

Kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata dan sesi bergambar.





Laporan oleh: Ruhia Lawis

Lagi Penyampaian Cenderahati

Pada 09 Ogos 2011 yang lalu, Pn Zuraidah Sagir (Biro Kebajikan ) dan Zaza Husin ( Pen Setiausaha ) telah menyampaikan cenderahati dari Tiaranita sempena kelahiran bayi kedua Pn Raidah Tali.



Beliau yang kini bertugas di Unit Zone Building Team Kota Kinabalu telah selamat melahirkan anak perempuan yang diberi nama Layla Wafa Sofea Binti Mohd Saman pada 8 Jun 2011 seberat 3 Kg di KK Specialist Center.

Tahniah untuk Pn. Raidah Tali dan suami Mohd Saman yang juga kakitangan TM.

Jualan Ramadhan







Sempena dengan ”Hari Raya Aidil Fitri” yang bakal menjelma, sudah pasti juadah kuih raya menjadi hidangan wajib untuk rakan taulan dan sanak saudara yang berkunjung ke rumah terbuka saudara/saudari.

Dan bagi memenuhi permintaan ramai, sekali lagi, Tiaranita Cawangan Sabah melalui Biro Ekonominya pada tahun ini, mengadakan jualan ” Fresh Homemade Baked Biskut Raya ” , hasil air tangan suri rumahtangga dan ahli Tiaranita.

Pihak Tiaranita juga ada menyediakan perkhidmatan bagi tempahan ”Hamper Kuih Raya” bagi saudari/saudari yang ingin memberi buah tangan semasa berkunjung ke rumah rakan taulan atau bagi menghargai pelanggan dan orang-orang tersayang.

Untuk makluman, tempahan Kuih Raya dari NOOR HOMEMADE telah ditutup. Manakala tempahan dari Pn. Fatimah Majid dan Pn. Mastura Mujip masih dibuka sehingga 19 Ogos 2011. Jangan terlambat untuk membuat tempahan.


Tempahan biskut raya ini boleh dilakukan dengan menghubungi Cik Dayang Halimah Yusof di dghalima@tm.com.my atau menghubungi beliau di talian 088 299 463.


Bagi yang tidak nampak borang, sila Klik 2 kali imej tersebut dan Zoom imej...

Menziarahi Pn. Ermie Dingkaya

Pada 22 Julai 2011 bersamaan hari Jumaat jam 1.00 tengahari, rombongan Tiaranita telah menziarahi Pn. Ermie Dingkaya di Wad Bilik 309, Sabah Medical Centre, Damai, Luyang. Beliau telah selamat menjalani pembedahan fibroid pada 21 Julai 2011. Menurut makluman dari Pn. Dang Kalas, buat masa ini kesihatan beliau bertambah baik...Maaf tak ada gambar semasa menziarahi beliau....



Tiaranita Sabah mendoakan agar Pn Ermie cepat sembuh dan sihat walafiat seperti sediakala.

Salam Ramadhan

Rasanya belum terlambat lagi, saya bagi pihak Tiaranita Sabah ingin mengucapkan "Salam Ramadhan dan Selamat Berpuasa" kepada semua ahli dan tak lupa juga kepada semua pengunjung blog ini. Sempena Bulan Ramadhan ini Tiaranita Sabah akan meneruskan Program Qaseh Ramadhan yang telah diputuskan sebagai acara tahunan memandangkan sambutan yang menggalakkan daripada semua ahli dan kakitangan TM.


Memandangkan tahun lalu tak sempat masukkan dalam blog, maka entri kali ini adalah berkaitan dengan Program tersebut yang telah dilaksanakan tahun 2010.


Pada tarikh 27 Ogos 2010 bersamaan hari Jumaat seramai 9 ahli Tiaranita Sabah telah sempat melawat dan menghulurkan bantuan kepada En. Jumari iaitu suami kepada Pn. Jamiah Razak (Pesara TM) di Wad Lelaki Queen Elizabeth (Hospital Mesra Bukit Padang), En. Rusdi di Jalan Pertanian Tuaran (juga Pesara TM), En. Johan di Kg. Dungun Tuaran (Masyarakat luar - mualaf dan tinggal bersama keluarga bukan Islam, 2 orang anak yang seorang ialah OKU buta ) dan juga En. Jumat di Kg. Serusop Tuaran (Masyarakat luar - nelayan yang mempunyai 8 orang anak).


Disamping itu, Tiaranita juga memberi bantuan kepada Pn. Suridah dan Pn. Saadiah yang bertugas sebagai pembersih di TM Wisma San Hin. Pn. Saadiah mempunyai suami yang menghidapi Cancer, manakala Pn. Suridah pula mempunyai anak yang tidak bersekolah kerana membantu menjaga anak-anak kecilnya yang lain.



Antara gambar2 yang sempat diambil...



\

Penyampaian Cenderahati

Pada hari Jumaat yang lalu bersamaan dengan 29 Julai 2011, wakil Tiaranita Sabah WP Labuan iaitu Pn Simun Mahmud dan Pn Juitta Binti Khusaini, ( Asst Manager,ZFT PBP Labuan, RNO Sabah) telah menyampaikan cenderahati kepada Pn. Samsiah Sandiwa yang bertugas di Unit Transmission WP Labuan..





Beliau telah selamat melahirkan bayi perempuan pada 3 Mei 2011 yang lalu.




Sesi Dialog Memperkasakan Ibu Tunggal

Tiaranita Sabah telah menghantar seramai 4 orang peserta untuk menyertai Majlis Dialog Memperkasakan Ibu Tunggal anjuran Jabatan Pembangunan Wanita 13 Julai 2011 bertempat Ballroom, Wisma Wanita, Kota Kinabalu.




Objektif majlis dialog tersebut adalah memberi penerangan mengenai skim bantuan, program dan aktiviti yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan untuk membangunkan kapasiti dan modal insan wanita khususnya para ibu tunggal di Negeri Sabah. Jabatan Pembangunan Wanita turut menawarkan kursus-kursus percuma kepada peserta yang berminat seperti kursus masakan gerai, kursus menajhit manik dan lain-lain.




Jabatan dan agensi yang terlibat untuk memberikan penerangan adalah Amanah Raya Berhad, Yayasan Usaha Maju, Amanah Ikhtiar Malaysia, Baitulmal Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, TEKUN Nasional, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Jabatan Hal Ehwal Negeri Sabah, Jabatan Tenaga Kerja dan Job 1 Malaysia



Majlis yang dihadiri oleh seramai 200 orang ibu tunggal tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Herbert Timbon Lagadan, Timbalan Menteri Masyarkat dan Hal Ehwal Pengguna mewakili Yang Berhormat Datuk Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun, Menteri Pembanguan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna.



Laporan: Ruhia Lawis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...