SEMINAR “ WANITA & PEREMPUAN DALAM ICT ”


Pada bulan Jun yang lepas juga, Tiaranita Sabah telah menghantar seramai 5 orang peserta untuk menghadiri Seminar “ Wanita & Perempuan Dalam ICT “ anjuran Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, Pejabat Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama PERNEC Paypoint Sdn. Bhd iaitu pada 28 Jun 2012 bertempat di Balroom 2, Level 2, The Pacific Hotel, Sutera Harbour, Kota Kinabalu.



Seminar yang dihadiri oleh para peserta dari NGOs, Sektor Swasta, JabatanJabatan Kerajaan, Persatuan-persatuan dan lain-lain agensi berpeluang untuk memperolehi pengetahuan berkenaan dengan peranan wanita dalam ICT.
Seminar tersebut telah dirasmikan oleh YB Datuk Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun, Menteri Pembangunan Masyarakat & Hal Ehwal Pengguna.

”PROGRAM SYAWAL BERSAMA 2012”


Dalam kesibukan kaum Muslimin dan Muslimat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan dikunjungi rakan taulan dari pelbagai bangsa dan agama, saudara-mara jauh dan dekat, masih ada anggota TM yang menunaikan tanggungjawab bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi tidak terjejas semasa perayaan.

Bagi mengingati mereka yang sibuk bertugas semasa Cuti Perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tiaranita Sabah sekali lagi menjalankan ”Program Syawal Bersama” pada 19 Ogos 2012 bersamaan 1 Syawal 1433H bermula dari jam 10:30 pagi dan berakhir pada jam 12:30 tengahari.

Ahli Tiaranita Sabah yang bertugas mewakili mewakili Hajah Sharifah Nor Ashikin Syed Ismail, Presiden Tiaranita Cawangan Sabah untuk membuat kerja-kerja pengedaran ”Pek Makanan Hari Raya” pada anggota-anggota TM di sekitar Ibu Pejabat Kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Inanam dan Tamparuli ialah Puan Susani Jinipol, Puan Maria Lourdes Balanjiu, Puan Winnie Sawin dan Cik Sylvia Ojihi.





Anggota-anggota TM yang bertugas merasa teruja dengan kunjungan mengejut dari Tiaranita Sabah bersama Pek Makanan Hari Raya dan tiada perkataan yang lebih indah dan terbaik dapat diucap selain dari ucapan jutaan terima kasih atas ingatan dan keprihatinan Warga Tiaranita Sabah.

PEMYAMPAIAN CEK SUMBANGAN BADAN KEBAJIKAN OLEH TIARANITA SABAH


Bersempena dengan bulan Ramadhan Al Mubarak, Tiaranita Sabah telah membuat majlis ringkas bagi menyampaikan cek sumbangan dari Tiaranita Nasional serta barangan hasil sumbangan dari Warga TM dan Warga Kolej Multimedia. Program ringkas tapi amat bermakna tersebut telah dilangsungkan pada 16 Ogos 2012 di Bilik Tetamu Pejabat Pengurus Besar, TM Wisma San Hin.

Sumbangan yang berbentuk cek serta barangan telah disempurnakan oleh Hajah Sharifah Nor Ashikin, Presiden Tiaranita Sabah. Penerima sumbangan tersebut adalah Rumah Anak Kesayangan yang diwakili oleh Encik Jaafar Guriaman dan Sekolah Agama Rakyat Al-Hafidz yang diwakili Guru Besar Sekolah, Ustaz Anuar Ali.



Semoga dengan sumbangan yang diberikan oleh Pihak Tiaranita serba sedikit dapat meringankan beban mereka yang memerlukan.

SEMARAK QASEH RAMADHAN 2012

Bersempena dengan bulan Ramadhan Al Mubarak, Tiaranita Sabah sekali lagi telah menyempurnakan Program Semarak Qaseh Ramadhan kepada enam keluarga. Program Qaseh Ramadhan ini merupakan program amal untuk mengagih-agihkan sumbangan dalam bentuk barangan, pakaian serta wang tunai hasil dari sumbangan Warga TM dan MMC. Mudah-mudahan sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban keluarga yang menerima.



Rombongan Tiaranita Sabah dengan ahli seramai 13 orang yang diketuai oleh Hajah Sharifah Nor Ashikin, Presiden Tiaranita Sabah memulakan perjalanan seawal 8:30 pagi dari Pejabat TM, Wisma San Hin. Destinasi pertama ialah ke rumah keluarga susah, Puan Sariah Mokhtar di Sepanggar, Menggatal, ibu kepada 3 orang anak yang belajar di Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu.

Perjalanan diteruskan ke Rumah Puan Juani Moholin di Kuarters Lembaga Tabung Getah, Tamparuli yang mempunyai seramai 16 orang anak dimana beberapa orang anaknya belajar di Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu.

Destinasi ketiga ialah ke rumah Allahyarham Mohd Said Ahmad di Kampung Saman, Tuaran yang menerima bantuan dari Tiaranita pada tahun 2011 dalam program yang sama. Allahyarham meninggal dunia pada bulan Ramadhan dan meninggalkan seorang balu dan 5 orang anak serta ibu dan bapa yang sudah tua.

Destinasi keempat ialah ke rumah Puan Noumi Lapai di Telipok Ria. Seorang ibu tunggal yang mempunyai anak ”down syndrom” dan menghidap kompilasi jantung dan memerlukan belanja besar untuk merawat penyakit anaknya.



Destinasi kelima ialah ke rumah Puan Siti Jueh Mukadis di Kampung Berungis, Tuara. Seorang ibu tunggal yang berpendapatan RM200.00 sebulan.

Destinasi terakhir ialah rumah seorang ibu tunggal berpendapatn RM200.00 sebulan, Puan Siti Jahirahani Ahmad Bawai.



Terdahulu, Puan Haslinda Amari telah menguruskan penghantaran sumbangan kepada Encik Reynold @ Raffi di Kampung Berundong, Papar yang mempunyai anak belajar di Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu

Keadaan kehidupan semua penerima sumbangan amat menginsafkan sesiapa yang melihat. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak ada perkataan yang sesuai untuk mengungkapkan kesusahan kehidupan yang mereka tanggung. Semua penerima amat terharu menerima kunjungan serta sumbangan yang disampaikan oleh Tiaranita Sabah.






Jutaan terima kasih kepada semua penderma-penderma dari Warga TM & MMC yang budiman.

KETUK-KETUK RAMADHAN BUBUR LAMBUK 1TM OLEH TIARANITA SABAH

Tiaranita Sabah dengan kerjasama Warga Kolej Multimedia (MMC) serta beberapa orang kaum Adam dari TM telah menganjurkan program yang diberi nama Ketuk-Ketuk Ramadhan Bubur Lambuk 1TM bertempat di Kantin Ibu Pejabat Kawasan Kota Kinabalu.


Kerja-kerja penyediaan untuk memasak bubur lambuk tersebut bermula dari jam 09:00 pagi adalah diketuai oleh Hajah Sharifah Nor Ashikin, Presiden Tiaranita Sabah dan dibantu oleh Tuan Haji Sukkuriya Masri, Pengurus Besar TM Negeri Sabah. Walaupun dalam keadaan berpuasa, semua tenaga kerja yang hadir berganding bahu memasak bubur lambuk dan seterusnya dimasukkan dalam bekas makanan untuk diagih-agihkan dan seterusnya sesiapa yang menerimanya dapat berbuka puasa dengan Bubur Lambuk 1TM. ”Orang Memberi, Kita Merasa”.




Lokasi pertama pengagihan ialah kepada Masjid Negeri Sabah dan diiikuti dengan pengagihan ke Rumah Anak Kesayangan (RAK) di Sembulan. Penghuni RAK sempat membuat persembahan untuk menghiburkan Tiaranita Sabah serta rombongan.




Insyallah dengan izin Allah S.W.T., program amal seumpama ini akan dapat diteruskan lagi di masa-masa yang akan datang.


Majlis Penyampaian Anugerah Keusahawanan Wanita Negeri Sabah 2012


Sebelum itu pada bulan April juga Tiaranita Sabah telah menghantar seramai 6 orang peserta untuk menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Keusahawanan Wanita Negeri Sabah 2012 anjuran Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah dengan kerjasama Majlis Penasihat Wanita Sabah yang bertemakan ”Memperkasakan Usahawan Wanita” pada 05 April 2012 bertempat di The Pacific Sutera , Kota Kinabalu.

Majlis ini telah diadakan selaras dengan dasar untuk membangunkan wanita dalam sektor ekonomi dan memperkukuhkan kedudukan kewangan peribadi melalui perniagaan dan buat julung kalinya telah memperkenalkan tiga (3) anugerah khusus untuk wanita yang bergiat dalam perniagaan iaitu  Anugerah Usahawan Wanita, Anugerah Usahawan Wanita Luar Bandar dan Anugerah Usahawan Wanita dan disamping satu lagi anugerah iaitu Anugerah Khas Juri.



Majlis yang dihadiri oleh para peserta dari NGOs, Sektor Swasta, Jabatan-jabatan Kerajaan, Persatuan-persatuan dan lain-lain agensi tersebut juga telah diserikan dengan persembahan nyanyian dari Kumpulan Inava dan juga pertunjukan fesyen oleh Pesona Mia Collection.



Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Yee Moh Chai Timbalan Ketua Menteri mewakili YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri SabahTurut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Azizah Mohd. Dun.

Tiara Polkadot Mother's Nite

Tiaranita Sabah telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Ibu – “Tiara Polkadot Mother’s Nite” pada 25 Mei 2012 yang lalu bertempat di Hotel Promenade, Kota Kinabalu.



Program yang bertemakan Polkadot tersebut dihadiri oleh seramai 40 orang ahli yang terdiri daripada anggota TM serta isteri-isteri anggota TM. Diantara aktiviti yang diadakan adalah penyampaian sijil penghargaan kepada para peserta yang telah menghadiri Hari Tiaranita 2012 di Terengganu, saguhati kepada anak-anak cemerlang, acara memotong kek harijadi bertarikh unik di sepanjang tahun 2012, persembahan nyanyian karaoke, “musical gift passing”, cabutan tiket bertuah dan macam-macam lagi.




Puan Hilda Edmund, Timbalan Presiden Tiaranita Sabah mewakili Hajah Sharifah Nor Ashikin, Presiden Tiaranita Sabah di dalam ucapannya mengucapkan syabas di atas penganjuran majlis tersebut dan dalam masa yang sama, turut menyatakan rasa penghargaannya kepada ahli-ahli Tiaranita Sabah yang telah menyertai rombongan ke Hari Tiaranita yang telah berlangsung pada 29 April 2012 di Terengganu dimana Tiaranita Sabah telah menyertai Pertandingan Dramatari dan Perbarisan Lintas Lalu. Pasukan Tiaranita Sabah berjaya mendapat tempat Ke-2 dalam Acara Perbarisan Lintas Lalu sementara Persembahan Dramatari telah berjaya memukau para penonton dengan persembahan yang begitu mencuit hati dengan kemunculan penyu bertelur emas. Tiaranita Sabah turut memenangi beberapa hadiah semasa Majlis Perasmian Hari Tiaranita iaitu Make-up Creative Tempat Ke-2, Kuiz Tempat Ke-2 dan Membungkus Nasi Dagang/Nasi Lemak Tempat Ke-3.




Majlis Hari Ibu diakhiri dengan permahkotaan Ibu Anggun yang dimenangi oleh Puan Jamiah Razak yang disempurnakan oleh Puan Hilda Edmund. Majlis ringkas tapi meriah ini diakhiri dengan Tarian Manuk-Manuk Lembukun oleh semua yang hadir.






Hari Tiaranita 2012 di Terengganu Darul Iman 28 April - 30 April 2012

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengujung setia blog ini .. Maaf lama tak update blog ni kerana tugas2 harian yang tidak mengizinkan.. Walaubagaimanapun, saya nak update aktiviti Tiaranita Sabah pada penghujung bulan April yang lalu dengan memasukkan diantara gambar2 kami semasa Hari Tiaranita 2012 di Terengganu tempoh hari.. Maklumat terperinci akan dimasukkan pada entri akan datang ... Jadi selamat menonton...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...