Tiaranita Sabah Anjur Kelas Jahit Manik Dan Labuci

Pada 19 Ogos 2011 yang lalu, Tiaranita Cawangan Sabah melalui Biro Pembangunan Modal Insan telah menganjurkan Kelas Menjahit Manik dan Labuci bertempat di Bilik Mesyuarat VC, Wisma San Hin, Kota Kinabalu, Sabah.




Kelas tersebut telah dihadiri oleh seramai 23 orang ahli yang begitu teruja untuk belajar menjahit manik dan labuci. Tenaga pengajar kelas ini adalah di kalangan ahli-ahli Tiaranita Sabah yang mempunyai kemahiran iaitu Puan Siti Kamisah Sopong, Puan Ahziah Ahmad dan dibantu oleh Puan Dgku Juliah Agku Talib.







Objektif kelas ini dianjurkan dengan harapan untuk memberikan kemahiran kepada ahli-ahli Tiaranita untuk merealisasikan impian mereka menghias pakaian dengan manik dan labuci hasil dari kerja tangan sendiri. Kemahiran yang ada juga boleh dimanfaatkan untuk menambahkan wang saku.




Kelas seumpama ini akan dianjurkan lagi di masa akan datang atas permintaan ahli-ahli Tiaranita.


Laporan oleh: Ruhia Lawis

Tiaranita ke Majlis Berbuka Puasa Istana Negeri Sabah


Pada 14 Ogos 2011, Tiaranita Sabah telah menghantar seramai 4 orang wakil untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Sembahyang Tarawih bersama isteri Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Yang Amat Berbahagia Datin Norlida Datuk RM Jasni bertempat di Istana Negeri Kota Kinabalu, Sabah.




Program tersebut dimulakan dengan takzirah dan bacaan Al-Quran. Selepas berbuka puasa dan solat maghrib, program diteruskan dengan penyerahan zakat kepada ibu tunggal, majlis makan malam dan sembahyang tarawih.





Laporan Oleh: Ruhia Lawis

Kunjungan Hormat Ke Konsulat Jendral Republik Indonesia

Tiaranita Cawangan Sabah telah mengadakan Kunjungan Hormat Ke Persatuan Wanita Konsulat Jendral Republik Indonesia pada 9 Ogos 2011 bertempat di Pejabat Konsulat Indonesia, Kota Kinabalu, Sabah.





Kunjungan hormat tersebut bertujuan berkenalan serta mengeratkan lagi ikatan silaturrahim diantara Tiaranita Sabah dan Persatuan Wanita KJRI. Rombongan Tiaranita Cawangan Sabah diketuai oleh Hajah Sharifah Nor Ashikin, Presiden Tiaranita Cawangan Sabah sementara Persatuan Wanita KJRI diketuai oleh Ibu Dini Sahid, Ketua Dharma Wanita Persatuan KJRI.


Kedua-dua belah pihak berharap dapat melaksanakan program serta aktiviti bersama-sama dan dalam masa yang sama dapat bertukar-tukar maklumat untuk memperbaiki prestasi persatuan masing-masing.

Bersempena dengan program Kunjungan Hormat ini, Pihak Tiaranita juga turut mengambil peluang mempromosikan produk TM iaitu Kad iTalk kepada semua ahli KJRI yang hadir dan memberikan beberapa pek percubaan kepada Ibu Dini.

Kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata dan sesi bergambar.





Laporan oleh: Ruhia Lawis
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...