KETUK-KETUK RAMADHAN BUBUR LAMBUK 1TM OLEH TIARANITA SABAH

Tiaranita Sabah dengan kerjasama Warga Kolej Multimedia (MMC) serta beberapa orang kaum Adam dari TM telah menganjurkan program yang diberi nama Ketuk-Ketuk Ramadhan Bubur Lambuk 1TM bertempat di Kantin Ibu Pejabat Kawasan Kota Kinabalu.


Kerja-kerja penyediaan untuk memasak bubur lambuk tersebut bermula dari jam 09:00 pagi adalah diketuai oleh Hajah Sharifah Nor Ashikin, Presiden Tiaranita Sabah dan dibantu oleh Tuan Haji Sukkuriya Masri, Pengurus Besar TM Negeri Sabah. Walaupun dalam keadaan berpuasa, semua tenaga kerja yang hadir berganding bahu memasak bubur lambuk dan seterusnya dimasukkan dalam bekas makanan untuk diagih-agihkan dan seterusnya sesiapa yang menerimanya dapat berbuka puasa dengan Bubur Lambuk 1TM. ”Orang Memberi, Kita Merasa”.




Lokasi pertama pengagihan ialah kepada Masjid Negeri Sabah dan diiikuti dengan pengagihan ke Rumah Anak Kesayangan (RAK) di Sembulan. Penghuni RAK sempat membuat persembahan untuk menghiburkan Tiaranita Sabah serta rombongan.




Insyallah dengan izin Allah S.W.T., program amal seumpama ini akan dapat diteruskan lagi di masa-masa yang akan datang.


Majlis Penyampaian Anugerah Keusahawanan Wanita Negeri Sabah 2012


Sebelum itu pada bulan April juga Tiaranita Sabah telah menghantar seramai 6 orang peserta untuk menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Keusahawanan Wanita Negeri Sabah 2012 anjuran Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah dengan kerjasama Majlis Penasihat Wanita Sabah yang bertemakan ”Memperkasakan Usahawan Wanita” pada 05 April 2012 bertempat di The Pacific Sutera , Kota Kinabalu.

Majlis ini telah diadakan selaras dengan dasar untuk membangunkan wanita dalam sektor ekonomi dan memperkukuhkan kedudukan kewangan peribadi melalui perniagaan dan buat julung kalinya telah memperkenalkan tiga (3) anugerah khusus untuk wanita yang bergiat dalam perniagaan iaitu  Anugerah Usahawan Wanita, Anugerah Usahawan Wanita Luar Bandar dan Anugerah Usahawan Wanita dan disamping satu lagi anugerah iaitu Anugerah Khas Juri.



Majlis yang dihadiri oleh para peserta dari NGOs, Sektor Swasta, Jabatan-jabatan Kerajaan, Persatuan-persatuan dan lain-lain agensi tersebut juga telah diserikan dengan persembahan nyanyian dari Kumpulan Inava dan juga pertunjukan fesyen oleh Pesona Mia Collection.



Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Yee Moh Chai Timbalan Ketua Menteri mewakili YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri SabahTurut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Azizah Mohd. Dun.

Tiara Polkadot Mother's Nite

Tiaranita Sabah telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Ibu – “Tiara Polkadot Mother’s Nite” pada 25 Mei 2012 yang lalu bertempat di Hotel Promenade, Kota Kinabalu.



Program yang bertemakan Polkadot tersebut dihadiri oleh seramai 40 orang ahli yang terdiri daripada anggota TM serta isteri-isteri anggota TM. Diantara aktiviti yang diadakan adalah penyampaian sijil penghargaan kepada para peserta yang telah menghadiri Hari Tiaranita 2012 di Terengganu, saguhati kepada anak-anak cemerlang, acara memotong kek harijadi bertarikh unik di sepanjang tahun 2012, persembahan nyanyian karaoke, “musical gift passing”, cabutan tiket bertuah dan macam-macam lagi.




Puan Hilda Edmund, Timbalan Presiden Tiaranita Sabah mewakili Hajah Sharifah Nor Ashikin, Presiden Tiaranita Sabah di dalam ucapannya mengucapkan syabas di atas penganjuran majlis tersebut dan dalam masa yang sama, turut menyatakan rasa penghargaannya kepada ahli-ahli Tiaranita Sabah yang telah menyertai rombongan ke Hari Tiaranita yang telah berlangsung pada 29 April 2012 di Terengganu dimana Tiaranita Sabah telah menyertai Pertandingan Dramatari dan Perbarisan Lintas Lalu. Pasukan Tiaranita Sabah berjaya mendapat tempat Ke-2 dalam Acara Perbarisan Lintas Lalu sementara Persembahan Dramatari telah berjaya memukau para penonton dengan persembahan yang begitu mencuit hati dengan kemunculan penyu bertelur emas. Tiaranita Sabah turut memenangi beberapa hadiah semasa Majlis Perasmian Hari Tiaranita iaitu Make-up Creative Tempat Ke-2, Kuiz Tempat Ke-2 dan Membungkus Nasi Dagang/Nasi Lemak Tempat Ke-3.




Majlis Hari Ibu diakhiri dengan permahkotaan Ibu Anggun yang dimenangi oleh Puan Jamiah Razak yang disempurnakan oleh Puan Hilda Edmund. Majlis ringkas tapi meriah ini diakhiri dengan Tarian Manuk-Manuk Lembukun oleh semua yang hadir.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...