SEMARAK QASEH RAMADHAN 2012

Bersempena dengan bulan Ramadhan Al Mubarak, Tiaranita Sabah sekali lagi telah menyempurnakan Program Semarak Qaseh Ramadhan kepada enam keluarga. Program Qaseh Ramadhan ini merupakan program amal untuk mengagih-agihkan sumbangan dalam bentuk barangan, pakaian serta wang tunai hasil dari sumbangan Warga TM dan MMC. Mudah-mudahan sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban keluarga yang menerima.



Rombongan Tiaranita Sabah dengan ahli seramai 13 orang yang diketuai oleh Hajah Sharifah Nor Ashikin, Presiden Tiaranita Sabah memulakan perjalanan seawal 8:30 pagi dari Pejabat TM, Wisma San Hin. Destinasi pertama ialah ke rumah keluarga susah, Puan Sariah Mokhtar di Sepanggar, Menggatal, ibu kepada 3 orang anak yang belajar di Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu.

Perjalanan diteruskan ke Rumah Puan Juani Moholin di Kuarters Lembaga Tabung Getah, Tamparuli yang mempunyai seramai 16 orang anak dimana beberapa orang anaknya belajar di Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu.

Destinasi ketiga ialah ke rumah Allahyarham Mohd Said Ahmad di Kampung Saman, Tuaran yang menerima bantuan dari Tiaranita pada tahun 2011 dalam program yang sama. Allahyarham meninggal dunia pada bulan Ramadhan dan meninggalkan seorang balu dan 5 orang anak serta ibu dan bapa yang sudah tua.

Destinasi keempat ialah ke rumah Puan Noumi Lapai di Telipok Ria. Seorang ibu tunggal yang mempunyai anak ”down syndrom” dan menghidap kompilasi jantung dan memerlukan belanja besar untuk merawat penyakit anaknya.



Destinasi kelima ialah ke rumah Puan Siti Jueh Mukadis di Kampung Berungis, Tuara. Seorang ibu tunggal yang berpendapatan RM200.00 sebulan.

Destinasi terakhir ialah rumah seorang ibu tunggal berpendapatn RM200.00 sebulan, Puan Siti Jahirahani Ahmad Bawai.



Terdahulu, Puan Haslinda Amari telah menguruskan penghantaran sumbangan kepada Encik Reynold @ Raffi di Kampung Berundong, Papar yang mempunyai anak belajar di Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu

Keadaan kehidupan semua penerima sumbangan amat menginsafkan sesiapa yang melihat. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak ada perkataan yang sesuai untuk mengungkapkan kesusahan kehidupan yang mereka tanggung. Semua penerima amat terharu menerima kunjungan serta sumbangan yang disampaikan oleh Tiaranita Sabah.






Jutaan terima kasih kepada semua penderma-penderma dari Warga TM & MMC yang budiman.

KETUK-KETUK RAMADHAN BUBUR LAMBUK 1TM OLEH TIARANITA SABAH

Tiaranita Sabah dengan kerjasama Warga Kolej Multimedia (MMC) serta beberapa orang kaum Adam dari TM telah menganjurkan program yang diberi nama Ketuk-Ketuk Ramadhan Bubur Lambuk 1TM bertempat di Kantin Ibu Pejabat Kawasan Kota Kinabalu.


Kerja-kerja penyediaan untuk memasak bubur lambuk tersebut bermula dari jam 09:00 pagi adalah diketuai oleh Hajah Sharifah Nor Ashikin, Presiden Tiaranita Sabah dan dibantu oleh Tuan Haji Sukkuriya Masri, Pengurus Besar TM Negeri Sabah. Walaupun dalam keadaan berpuasa, semua tenaga kerja yang hadir berganding bahu memasak bubur lambuk dan seterusnya dimasukkan dalam bekas makanan untuk diagih-agihkan dan seterusnya sesiapa yang menerimanya dapat berbuka puasa dengan Bubur Lambuk 1TM. ”Orang Memberi, Kita Merasa”.




Lokasi pertama pengagihan ialah kepada Masjid Negeri Sabah dan diiikuti dengan pengagihan ke Rumah Anak Kesayangan (RAK) di Sembulan. Penghuni RAK sempat membuat persembahan untuk menghiburkan Tiaranita Sabah serta rombongan.




Insyallah dengan izin Allah S.W.T., program amal seumpama ini akan dapat diteruskan lagi di masa-masa yang akan datang.


Majlis Penyampaian Anugerah Keusahawanan Wanita Negeri Sabah 2012


Sebelum itu pada bulan April juga Tiaranita Sabah telah menghantar seramai 6 orang peserta untuk menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Keusahawanan Wanita Negeri Sabah 2012 anjuran Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah dengan kerjasama Majlis Penasihat Wanita Sabah yang bertemakan ”Memperkasakan Usahawan Wanita” pada 05 April 2012 bertempat di The Pacific Sutera , Kota Kinabalu.

Majlis ini telah diadakan selaras dengan dasar untuk membangunkan wanita dalam sektor ekonomi dan memperkukuhkan kedudukan kewangan peribadi melalui perniagaan dan buat julung kalinya telah memperkenalkan tiga (3) anugerah khusus untuk wanita yang bergiat dalam perniagaan iaitu  Anugerah Usahawan Wanita, Anugerah Usahawan Wanita Luar Bandar dan Anugerah Usahawan Wanita dan disamping satu lagi anugerah iaitu Anugerah Khas Juri.



Majlis yang dihadiri oleh para peserta dari NGOs, Sektor Swasta, Jabatan-jabatan Kerajaan, Persatuan-persatuan dan lain-lain agensi tersebut juga telah diserikan dengan persembahan nyanyian dari Kumpulan Inava dan juga pertunjukan fesyen oleh Pesona Mia Collection.



Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Yee Moh Chai Timbalan Ketua Menteri mewakili YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri SabahTurut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Azizah Mohd. Dun.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...